Thursday, October 7, 2010

Al-Fatihah...




Al Fatihah buat Allahyarham Hj.Masrom ahli qariah Bandar Pulai Jaya yang telah kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 3.00 pagi tadi.

Juga marilah sama-sama kita mendoakan agar rohnya serta sahabat-sahabat serta ahli keluarga yang telah pergi mendahului kita diletakkan dikalangan hamba Allah yang beriman dan mendapat rahmat keampunan-Nya.

Wednesday, September 8, 2010

Makluman Solat Sunat Aidil Fitri

Tempat: Surau Al-Ikhlas, Bandar Pulai Jaya.

Tarikh : 1 Syawal 1431

Waktu : 8.30 pagi


Semua ahli jemaah (muslimin dan muslimat) adalah dijemput hadir.

Friday, May 7, 2010

Perkara Sunat Selain Aqiqah Pada Hari Ketujuh

*Sumber dari ruangan forum Soal Jawab Agama Surau Al-Ikhlas BPJ. Dijawab oleh: Ust Arzuang

Selain daripada aqiqah yang disunatkan pada hari ketujuh itu ialah sunat dicukur keseluruhan rambut anak yang diaqiqahkan sama ada anak itu lelaki ataupun perempuan. Menurut pendapat yang ashah, sunat mencukur rambut anak itu selepas menyembelih binatang aqiqah. (Al-Majmu‘: 8/324-325)

Sehubungan dengan itu, meskipun amalan bercukur itu adalah sunat, namun terdapat bentuk-bentuk cukuran yang dilarang oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu apa yang disebut dalam bahasa Arab sebagai qaza‘ (ÞÒÚ). Qaza‘ ialah mencukur sebahagian rambut kanak-kanak dan meninggalkan sebahagian yang lain. Sama ada mencukur di tengah kepala dan meninggalkan yang tepi, mencukur di tepi meninggalkan rambut di tengah atau mencukur rambut depan meninggalkan rambut belakang atau sebaliknya. Semua ini dinamakan qaza‘.

Sementara mencukur keseluruhan rambut tidak disunatkan kecuali bagi orang-orang yang mengerjakan haji atau umrah atau orang yang baru masuk Islam atau anak yang dilahirkan. Manakala perempuan makruh mencukur rambut kecuali dalam keadaan darurat. (Bujairimi ‘ala al-Khatib: 4/437-438)

Larangan melakukan qaza‘ ini telah disebut dengan jelas di dalam hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma katanya yang maksudnya :

"Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah daripada melakukan qaza‘ (mencukur sebahagian daripada rambut kepala)."

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma yang maksudnya :

"Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melihat seorang kanak-kanak yang dicukur sebahagian rambutnya dan ditinggalkan sebahagian yang lain, lalu Nabi melarang mereka berbuat demikian dan Baginda bersabda: "Kamu cukur (rambut itu) kesemuanya atau kamu tinggalkan kesemuanya (tidak mencukurnya)."

(Hadis riwayat Abu Daud)

Sunat disedekahkan emas atau perak hasil daripada timbangan berat rambut yang dicukur itu kepada fakir miskin jika berkemampuan. Jika tidak mampu, maka tidaklah diberatkan ke atas ibu bapa anak tersebut melainkan sekadar yang terupaya, umpamanya digantikan dengan nilaian wang atau sebagainya mengikut kemampuan.

Hal ini bersandarkan kepada hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ‘Ali bin Abu Thalib katanya yang maksudnya:

"Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah beraqiqah untuk Hasan dengan seekor kambing dan Baginda bersabda: "Wahai Fatimah! Cukurlah kepalanya (rambutnya) dan bersedekahlah seberat timbangan rambutnya itu dengan perak." (‘Ali) berkata: "Lalu dia (Fatimah) timbang (rambut anaknya itu), maka beratnya adalah satu dirham atau setengah dirham."

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Sunat dilumuri kepala kanak-kanak itu dengan wangi-wangian seperti za‘faran (kuma kuma) atau khaluf (daripada wangi-wangian yang berwarna kuning dan merah. Makruh dilumuri kepala kanak-kanak itu dengan darah binatang aqiqah. (Al-Majmu‘: 8/324) Sebagaimana di dalam hadis yang diceritakan oleh ‘Abdullah bin Buraidah katanya yang maksudnya :

"Aku pernah mendengar Abu Buraidah berkata: "Kami pada zaman jahiliyyah, apabila salah seorang daripada kami dikurniakan seorang anak lelaki, disembelih seekor kambing dan dilumuri kepalanya (anak itu) dengan darahnya (kambing). Ketika Allah mendatangkan Islam, kami menyembelih seekor kambing dan mencukur rambutnya (anak itu) serta melumurinya (kepala anak itu) dengan za‘faran (sejenis wangi-wangian)."

(Hadis riwayat Abu Daud)

Sunat memberi nama anak yang baru dilahirkan pada hari ketujuh daripada kelahiran. Sebagaimana di dalam hadis daripada ‘Amr bin Syu‘aib daripada bapanya daripada datuknya yang maksudnya :

"Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan agar memberi nama kepada anak yang baru lahir pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya, menghilangkan kotoran daripadanya (mencukur rambut) dan membuat aqiqah untuknya."

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Bolehlah juga diberi nama anak tersebut pada saat hari dia dilahirkan. Sebagaimana di dalam hadis daripada Anas Radhiallahu ‘anhu katanya yang maksudnya :

"Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: "Anakku lahir pada malam tadi, maka aku beri nama dengan nama datukku iaitu Ibrahim."

(Hadis riwayat Muslim dan selainnya)

Bolehlah juga diberi nama anak tersebut sebelum hari ketujuh atau pun selepasnya. (Al-Majmu‘: 8/326)

Jika anak yang meninggal kerana keguguran dan sudah ditiupkan roh ke dalamnya, maka sunat diberikan dia nama. Apabila tidak dikenali apakah dia lelaki atau perempuan, maka diberi nama yang sesuai untuk lelaki atau perempuan seperti Talhah, ‘Umairah dan sebagainya. Demikian juga sunat diberi nama anak yang belum sempat diberikan nama sebelum dia meninggal dunia.

Sunat mengadakan walimah (kenduri) bagi aqiqah itu. Kerana ianya termasuk dalam salah satu yang sunat diadakan kenduri, seperti kenduri kahwin, selepas melahirkan anak, selesai membina bangunan, orang yang terkena musibah, orang yang balik daripada musafir, kenduri kerana hafaz dan khatam al-Qur’an dan berkhatan. (Raudhah ath-Thalibin: 5/646)

Sunat mengkhatan anak damit itu pada hari ketujuh daripada kelahirannya jika anak itu tidak lemah ataupun ianya terdaya untuk berkhatan. (Al-Majmu‘: 1/367) Sebagaimana di dalam hadis Jabir katanya yang maksudnya :

"Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengaqiqahkan Hasan dan Husain dan mengkhatankan keduanya pada hari ketujuh."

(Hadis dikeluarkan oleh al-Baihaqi)

Thursday, February 18, 2010

Mesyuarat Agong 2010



Mesyuarat perlantikan AJK Surau BPJ bagi sesi 2010-2011 telah berlangsung dengan jayanya. Sebahagian besar AJK pada sesi yang lepas telah dikekalkan oleh majoriti ahli mesyuarat yang hadir pada malam tersebut. Senarai penuh AJK yang baru dilantik ini akan dipaparkan setelah pembahagian tugasan biro/lujnah dilaksanakan.

Pihak pengurusan blog mengucapkan Tahniah dan Selamat Menjalankan Tugas. Semoga Allah sentiasa merahmati semua penduduk di Bandar Pulai Jaya.

>> klik untuk galeri gambar mesyuarat.

Thursday, February 11, 2010

NOTIS MESYUARAT AGUNG SURAU BANDAR PULAI JAYA

SUKACITA DIMAKLUMKAN, MESYUARAT AGUNG JAWATANKUASA SURAU BANDAR PULAI JAYA AKAN DIADAKAN SEPERTI BUTIRAN BERIKUT:
  • TARIKH : 11 FEBRUARI 2010 (KHAMIS)
  • JAM : 9.00 MALAM
  • TEMPAT : SURAU BANDAR PULAI JAYA
MESYUARAT INI DIADAKAN BAGI MENYEMPURNAKAN PERLANTIKAN AHLI JAWATANKUASA SURAU BANDAR PULAI JAYA YANG BARU.

SEMUA AHLI JEMAAH (MUSLIMIN/MUSLIMAT) DIJEMPUT HADIR.

*Makluman dari:
Pengerusi Jawatankuasa
Surau Bandar Pulai Jaya.

Wednesday, February 10, 2010

Valentine's Day ???

Tarikh 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.

Saban tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ianya seperti menuang air ke daun keladi. Oleh itu penulis melihat begitu pentingnya untuk mengupas sejarah sambutan Hari Valentine ini agar ianya dapat menyedarkan muda-mudi kita yang hanyut di lautan cinta bahawa ianya adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram.

Sunday, February 7, 2010

Tetamu tak diundang


Tukar lampu..



"ku sangkakan lampu yang rosak, rupanya starter saja yang sudah meninggal.."

Sunday, January 31, 2010

Ribut...

Ribut petir serta angin monsun tropika telah melanda kawasan simpang pulai. Bandar Pulai Jaya juga merupakan antara kawasan yang dilanda ribut tersebut.



Yang tinggal hanya basikal Cikgu Shaari setelah tiang khemah betul-betul masuk di celah rim.

Thursday, January 21, 2010

Marikh menghampiri Bumi



--> klik untuk lihat simulasi yang lebih jelas.

Planet Marikh sekali lagi akan bergerak menghampiri Bumi pada akhir bulan ini. Kali terakhir ia berlaku ialah pada akhir tahun 2007.

Tumpukan mata anda ke langit timur apabila selepas terbenamnya matahari dan menjelang Isya. Anda akan dapat lihat sebuah objek seperti bintang yang amat cerah berwarna oren-kemerahan menyinari langit di kawasan langit tersebut.

Itulah planet Marikh, planet ke-4 di dalam sistem suria kita dan berada pada kedudukan Istiqbal dengan Bumi.

Istiqbal merupakan satu keadaan di mana planet-planet yang berada di dalam orbit yang lebih jauh daripada Bumi, berada pada kedudukan sederet relatif kepada Bumi dan Matahari. Di dalam kes ini, Marikh-Bumi-Matahari akan berada pada satu garisan yang hampir lurus. Ini bermaknanya, sebaik sahaja matahari terbenam, Marikh akan terbit.

Pusingan planet Marikh (atau juga dikenali sebagai planet Merah) bagi setiap kedudukan istiqbal ialah setiap 26 bulan.

Ketika ini, Marikh akan berada paling hampir dengan Bumi, dan kita akan dapat melihat ciri-ciri permukaannya dengan begitu jelas dan mudah.

Namun, disebabkan orbit Marikh dan Bumi tidak seragam jauhnya daripada Matahari, maka jarak Marikh-Bumi bagi setiap kejadian istiqbal berbeza-beza. Jika anda masih ingat, tahun 2003 yang mana ketika itu Marikh berada pada jarak yang paling hampir dengan Bumi jika dibandingkan dengan kedudukan istiqbal yang lain.

Kali ini, Marikh tidaklah berada amat hampir tetapi mencukupi untuknya bersinar dengan cerah dan menarik perhatian kita. Kiraan falak menunjukkan kecerahan hampir menyamai kecerahan bintang paling cerah di langit, iaitu bintang Sirius.

Oleh itu, jangan lepaskan peluang meneropong Marikh di sepanjang bulan Januari dan Februari ini!

*Sumber -->http://www.falak-online.net/portalfalak/

Tuesday, January 19, 2010

Rukyah Hilal Safar 1431H

Seramai 3 ahli jemaah Surau Bandar Pulai Jaya telah mengikuti sesi pencerapan anak bulan Safar 1431H di Baitul Hilal Pantai Pasir Panjang, Segari. Program 'ad-hoc' ini adalah sebagai sesi percubaan untuk perancangan yang lebih teliti di masa akan datang bersama joran, umpan, bbq dan lain-lain. Dan di sini dipaparkan sedikit panorama sunset untuk para photographer BPJ.








Tuesday, January 5, 2010

Gerhana Matahari Separa 15 Januari 2010


Pada hari Jumaat, 15hb Jan 2010 nanti, sebuah lagi kejadian gerhana matahari akan berlaku. Kali ini, ia merupakan Gerhana Matahari Cincin yang akan dapat dilihat disepanjang laluan sejauh 300km yang merentasi benua Afrika, kemudian melalui Lautan Hindi di mana gerhana akan berada pada fasa paling lama iaitu 11 m 8 saat.

Kemudian ia akan ......

meneruskan laluannya ke India, Bangladesh, Burma dan berakhir di China.Di Malaysia, hanya Gerhana Matahari Separa sahaja dapat dilihat pada tarikh tersebut.

Kiraan waktu gerhana dari lokasi bandar-bandar utama di malaysia adalah seperti berikut:

Kuala Lumpur

Fasa Sentuhan Pertama (Mula Gerhana): 3:01 PM

Fasa Maksimum (41% Matahari Tertutup):4:26 PM

Fasa Sentuhan Terakhir (Tamat Gerhana): 5:38 PM


Nota: Kiraan dibuat berdasarkan waktu standard Malaysia. Perisian Skymap Pro (versi 8).

Laman web NASA yang disediakan oleh Fred Espanak mengandungi peta interaktif gerhana menggunakan Google Map. Klik SINI

Nota: Waktu kejadian yang dipaparkan di laman web NASA adalah berdasarkan Universal Time (UT). Untuk tukar ke waktu Malaysia, sila tambah 8 jam.

Cara melihat gerhana

Seperti yang selalu diingatkan, jangan SEKALI-KALI melihat Matahari dengan mata kasar atau alat mencerap (teleskop atau binokular). Cahaya matahari amat terang dan memancarkan radiasi yang amat tinggi sehingga boleh merosakkan mata sehingga buta.

Kaedah paling selamat melihat fasa-fasa gerhana ialah dengan menggunakan kamera lubang pin (Pin Hole Camera).

Jika anda mempunyai binokular, gunalah kaedah projeksi atas kertas (cardboard projection).

Jika anda mempunyai teleskop, sebaik-baik kaedah ialah dengan menggunakan penapis matahari (seperi baader atau mylar). Cuba elakkan daripada menggunakan kaedah projeksi atas kertas kerana intensiti cahaya matahari amat kuat dan boleh mencairkan kanta mata (eyepiece) anda!

Rujuk SINI

Suasana ketika Gerhana Matahari Separa.

Disebabkan matahari teramat cerah, tidak banyak kesan yang dapat dirasa atau dilihat ketika fasa gerhana. Mungkin paling jelas ialah suasana sekeliling akan kelihatan 'kurang' terang berbanding biasa. Namun, anda perlulah mempunyai skil observasi yang tinggi untuk benar-benar dapat melihat perbezaan cahaya ketika fasa gerhana.

Rajah disebelah menunjukkan keadaan ketika gerhana maksimum dari Kuala Lumpur. Simulasi dibuat menggunakan perisian Stellarium.

*Sumber http://www.falak-online.net/portalfalak/

Hakikat seorang.... MAK.

Bila dahaga, yang susukan aku......mak
Bila lapar, yang suapkan aku....mak
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. ..mak
Kata mak, perkataan pertama yang aku sebut....Mak
Bila bangun tidur, aku cari....mak
Bila nangis, orang pertama yang datang ....mak
Bila nak bermanja, aku dekati....mak
Bila nak bergesel, aku duduk sebelah....mak
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya......mak
Bila nakal, yang memarahi aku....mak
Bila merajuk, yang memujukku cuma....mak
Bila melakukan kesalahan, yang paling cepat marah....mak
Bila takut, yang tenangkan aku....mak
Bila nak peluk, yang aku suka peluk....mak
Aku selalu teringatkan ....mak
Bila sedih, aku mesti talipon....mak
Bila seronok, orang pertama aku nak beritahu......mak
Bila bengang.. aku suka luah pada..mak
Bila takut, aku selalu panggil... "mmaaakkkk! "
Bila sakit, orang paling risau adalah....mak
Bila nak exam, orang paling sibuk juga....mak
Bila buat hal, yang marah aku dulu....mak
Bila ada masalah, yang paling risau.... mak
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. mak
Yang selalu masak makanan kegemaranku....mak
kalau balik ke kampung, yang selalu bekalkan ulam & lauk pauk.....mak
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku....mak
Yang selalu berleter kat aku...mak
Yang selalu puji aku....mak
Yang selalu nasihat aku....mak
Bila nak kahwin..Orang pertama aku tunjuk dan rujuk.....mak

Aku ada pasangan hidup sendiri....

Bila seronok, aku cari.......pasanganku
Bila sedih, aku cari......mak

Bila berjaya, aku ceritakan pada....pasanganku
Bila gagal, aku ceritakan pada....mak

Bila bahagia, aku peluk erat....pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat.......emakku

Bila nak bercuti, aku bawa....pasanganku
Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah.....mak

Bila sambut valentine... Aku bagi hadiah pada pasanganku
Bila sambut hari ibu...aku cuma dapat ucapkan "Selamat Hari Ibu"

Selalu.. aku ingat pasanganku
Selalu.. mak ingat kat aku

Bila-bila... aku akan talipon pasanganku
Entah bila.... aku nak talipon mak

Selalu....aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila... aku nak belikan hadiah untuk emak

Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya....
berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya.....
berapa ramai yang sanggup mengantikan lampin ibunya......
berapa ramai yang sanggup membersihkan najis ibunya.......
berapa ramai yang sanggup membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya....
berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya......
dan akhir sekali berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya.......

Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya.Kos upah membantu ibu:

1) Tolong pergi kedai : RM4.00
2) Tolong jaga adik : RM4..00
3) Tolong buang sampah : RM1.00
4) Tolong kemas bilik : RM2.00
5) Tolong siram bunga : RM3.00
6) Tolong sapu sampah : RM3.00
Jumlah : RM17.00

Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar si mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama.

1) Kos mengandungkanmu selama 9 bulan - PERCUMA
2) Kos berjaga malam kerana menjagamu - PERCUMA
3) Kos air mata yang menitis keranamu - PERCUMA
4) Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu - PERCUMA
5) Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu -PERCUMA
Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku - PERCUMA