Monday, October 26, 2009

Surau BPJ di fasa terakhir pembinaan







Pembinaan surau hasil dari sumbangan penduduk Islam di Bdr Pulai Jaya dan dari kutipan derma yang telah dijalankan lebih dari tiga tahun yang dulu. Kini Sudah terlihat rupa bentuknya.

Sunday, October 25, 2009

PENGURUSAN HIBAH

PENGERTIAN HIBAH
Hibah ialah anugerah, pemberian atau hadiah yang melibatkan suatu akad yang mengandungi pemberian hak milik oleh pemilik harta kepada seseorang secara rela hati semasa hayatnya atas dasar kasih sayang dan kemanusiaan tanpa mengharapkan balasan atau tukaran.

DALIL MENGHARUSKAN HIBAH
Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 177:
Dan memberi seseorang akan harta yang dikasihinya kepada keluarga terdekat, anak-anak yatim, orang miskin, orang musafir, orang yang berhajat dan hamba.
Hadis riwayat Ahmad, Sabda Rasulullah saw:
Berilah hadiah (hibah), nescaya kamu dikasihi.

SIFAT DAN CIRI-CIRI HIBAH
Hibah tidak boleh ditarik balik kecuali pemberian bapa kepada anaknya atau daripada datuk kepada cucunya.

RUKUN HIBAH
1. Pemberi hibah (wahib)
2. Penerima hibah (mauhub-lahu)
3. Harta yang dihibahkan (mauhub)
4. Sighah kontrak (penawaran dan persetujuan)

JENIS-JENIS HIBAH
Terdapat 2 jenis hibah iaitu Hibah Terus (Pindahmilik) dan Hibah Beramanah (menggunakan Pemegang Amanah)


KONTRAK HIBAH BERSYARAT
Terdapat 2 jenis kontrak hibah bersyarat iaitu al-'Umra dan al-Ruqba.
1. Al-'Umra
Istilah ini diambil dari perkataan al-'Umur. Kontrak hibah jenis ini meletakkan umur sebagai syarat hibah samada berkait dengan umur pemberi atau umur penerima.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Al-'Umra dibenarkan."
Muslim juga meriwayatkan bahawa Jabir r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Jagalah harta kamu dan janganlah kamu merosakkannya. Sesiapa yang mengucapkan 'umra, ia adalah hak orang yang ditujukan 'umra itu, hidup atau mati dan kepada keturunannya."
Hibah secara 'umra menjadi hakmilik penerima sepenuhnya dan tidak akan dikembalikan semula kepada pemberi selama-lamanya.

2. Al-Ruqba
Istilah ini diambil dari perkataan Arab, ruqub atau taraqqub yang bermaksud menunggu. Iaitu masing-masing menunggu kematian siapa terlebih dahulu. Kontrak ini juga diterima sebagai kontrak hibah yang diakui oleh syara'.
Ini berpandukan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Umra dibenarkan untuk pemiliknya, begitu juga ruqba dibenarkan untuk pemiliknya."
Kebenaran berdasarkan hadis ini bererti bahawa pengecualian diberikan kepada kedua-dua jenis kontrak ini terhadap anugerah bersyarat yang tidak dibenarkan.
Menurut Mughni al-Muhtaj, al-Subki berkata: Kesahihan al'umra dan al-ruqba bukan berpandukan kepada qias, tetapi hadis lebih diutamakan berbanding segala usul dan segala qias.

APAKAH KEISTIMEWAAN HIBAH?

Harta yang telah dihibah terkeluar daripada harta pusaka
Apabila seseorang meninggal dunia maka harta yang ditinggalkan akan dikategorikan sebagai harta pusaka. Jika simati mempunyai dokumen hibah, maka harta yang dihibahkan itu tidak tertakluk kepada pembahagian harta pusaka.

Harta yang telah dihibah tidak boleh dituntut oleh waris lain
Seseorang pemilik harta yang sah berhak memberikan hartanya kepada siapa yang dikehendaki semasa hayatnya. Hibah adalah satu akad yang sangat kuat untuk seseorang memberi harta kepada orang lain. Harta yang telah dihibahkan adalah menjadi hakmilik penerima hibah. Waris yang lain tidak berhak untuk menuntut harta yang telah dihibahkan itu.

Pewarisan harta dapat dibuat dengan pantas

Dengan adanya dokumen pengisytiharan hibah, maka pemindahan harta dapat dibuat dengan lebih pantas kerana harta yang telah dihibahkan tidak perlu melalui prosedur pentadbiran harta pusaka.


SIAPAKAH YANG PERLU MEMBUAT DOKUMEN HIBAH?

Mereka yang mempunyai anak angkat
Anak angkat tidak mendapat bahagian pusaka di bawah hukum faraid. Dengan adanya dokumen hibah maka anak angkat akan dapat memiliki harta.

Suami yang ingin mewariskan harta kepada isterinya secara mutlak
Suami dapat membuktikan kasih sayang terhadap isterinya dengan membuat hibah. Dengan adanya dokumen hibah, isteri akan dapat memiliki harta dengan cepat dan dapat membantu isteri bagi menyara kehidupan dirinya dan anak-anaknya.

Ibubapa yang ingin mewariskan harta kepada anak
Ibubapa yang ingin membuat pembahagian harta selain daripada pembahagian menurut faraid atas sebab-sebab yang dibenarkan syara’, misalnya kesusahan hidup seseorang anaknya berbanding anak-anaknya yang lain, atau bagi tujuan pewarisan perniagaan, maka hibah ketika hidup boleh dilakukan.

Saturday, October 17, 2009

Selamat Datang

Blog ini dalam proses pembinaan. Terima kasih atas kunjungan anda..